Pages

11 April 2014

Thoughts for the day

Manusia, walau betapa yakinnya mereka akan keupayaan mereka untuk mengetepikan perkara itu, tetap jua perlu terima hakikat bahawa perkara itu menjadi sebahagian daripada diri mereka. Bukan nak cakap salah, tapi tolonglah jangan cuba perjuangkan sesuatu yang sudah terang-terangan tidak mampu atau tidak ingin dijayakan. Bagi aku, itu bohong belaka.

Jujur aku cakap, aku belum nampak lagi terlaksananya apa yang mereka cuba maksudkan semenjak dahulu. Kalau orang itu pandai "menarik minat", maka orang itu mempunyai kelebihan yang sangat besar. Lain pula ceritanya bagi mereka yang tidak tahu selok-belok "menampakkan diri sebagai seseorang yang disenangi" ini. Agak malang bagi kohort ini, kerana realitinya mereka kurang mendapat pandangan yang baik daripada masyarakat sekeliling.

Bagaimana sebenarnya istilah yang mengandungi 8 huruf dan dua patah perkataan itu didefinisikan? Bagaimana pula seseorang itu dinilai berdasarkan istilah itu? Aku tidak nampak cara yang benar-benar adil dalam perlaksanaannya. Andai mereka mendakwa bahawa istilah itu merupakan sesuatu yang dilakukan ketika berseorangan, bagaimana mereka mampu menilainya sedangkan sekiranya mereka melakukan penilaian, pastilah orang itu tidak berseorangan. Mustahil bagi mereka untuk "mengintip" orang bagi memastikan bahawa tindakan orang itu adalah dari dalam dirinya sendiri dan bukannya disebabkan pengaruh luar.

Dia bukanlah orang yang handal dalam hal-hal sebegini. Sebab itu sering aku lihat orang melontarkan persepsi buruk terhadapnya. Mungkin bukan salah mereka. Mungkin benarlah persepsi-persepsi orang sekeliling meskipun baru pada perjumpaan kali pertama. 

Apa boleh buat. Setiap manusia dilahirkan dengan hati dan perasaan, dan kedua-duanya itulah yang menjadi pemangkin kepada sifat di mana satu belah ke atas dan yang sebelah lagi ke bawah. Usah risau, aku pun memiliki juga sifat itu. Apa yang aku cuba ketengahkan ialah, walaupun kita cuba sedaya upaya untuk menjauhinya, sifat itu tetap wujud jua.

Usah dinafikan.
(Maaf, kata-kata aku agak abstrak)

--------------------------------------------------

Ini bukan kali pertama aku meluahkan impian-impian aku pada sekeping kertas, tapi entah mengapa, aktiviti awal pagi tadi membuatkan aku berfikir. Bertafakur seketika. Tatkala lenguh pada bahu itu semakin mencengkam, aku tenung juga kertas yang telah dicontengi dengan cita-cita yang kononnya ingin kukecapi suatu hari nanti. Bukan mudah, tapi tidak mustahil. Yang penting ialah niat dan usaha, kerana Allah tidak memandang pada hasil.

Aku berfikir, rupa-rupanya aku juga punya matlamat, sedangkan selama ini pada aku, aku seperti seseorang yang masih meraba-raba mencari hala tuju kehidupan. Dan aku pasti, setiap apa yang aku angankan hari ini akan menjadi kenyataan suatu hari kelak, insyaAllah. Hampir aku menitiskan air mata kerana diriku terlalu mudah menangis, tetapi aku memilih untuk tidak memerahkan mataku. Sebab itulah aku tidak ingin terlalu menghayati tulisan pada kertas itu, kerana aku tahu tentu aku tidak mampu menahan sebak. Tapi jangan risau. Aku tetap dapat mesej yang cuba anda sampaikan.

Yang aku memang dah sangkakan ialah 4 daripada 4 kertas yang aku lihat tertulis "get married" padanya (atau yang seangkatan dengannya). Memang, itu wajib diimpikan :)

-----------------------------------------------------

Belajarlah menerima pendapat orang lain, kerana elemen itu menjadi cebisan kehidupan yang sangat penting terutamanya setelah melangkah ke arena kedewasaan kelak. Sekalipun kita tidak bersetuju dengan mereka, usah terus bangkang bak perdebatan ala parlimen. Lebih baik diamkan ketidakpersetujuan itu. Sebaliknya, nyatakanlah bahawa kita memiliki pendapat yang berbeza. Bandingkan dua perbualan tersebut:

Ali : Aku rasa kita patut makan nasi sekurang-kurangnya dua kali sehari
Abu : Eh, tak tak tak... Bukan... Kita perlu 3 pinggan nasi tau.

Ali : Aku rasa kita patut makan nasi sekurang-kurangnya dua kali sehari
Abu : Oh. Pada pendapat aku pula, remaja seperti kita memerlukan 3 pinggan nasi sehari.

Nampak tak bahawasanya perbualan #2 membolehkan kedua-dua pihak berasa selesa dengan pendapat masing-masing? Memanglah ayat di atas agak formal, tetapi fahamkan apa yang cuba disampaikan. Renung-renungkanlah. Peringatan untuk diri yang sering alpa.


Sekian sahaja thoughts of the day\


No comments:

Post a Comment